Sunday 27 October 2013

Tempoh Percubaan

Salam Semua,

Setiap pekerjaan baru disandang wajib melalui tempoh percubaan. Tempoh percubaan adalah tempoh untuk kedua-dua pihak sama ada pekerja dan majikan untuk mengenali antara satu sama lain.

Prinsip asas dan matlamat asal tempoh percubaan diwujudkan adalah untuk memberi peluang pekerja baru memahami pekerjaan baru yang disandang dan menyesuaikan diri dengan standard, matlamat, polisi dan budaya kerja yang ditetapkan oleh majikan baru.

Tempoh percubaan tidak seragam antara majikan. Ia banyak bergantung kepada polisi dan kehendak sesebuah majikan. Berapa lama tempoh percubaan tidak digariskan dan tidak ditetapkan oleh undang-undang, samada oleh Akta Pekerjaan mahupun Akta Perhubungan Industri. Had tempoh percubaan adalah hak majikan.

Dimana tempoh percubaan dinyatakan? Secara rasmi, tempoh percubaan dinyatakan dalam Surat Tawaran Pekerjaan (Employment Offer Letter). Lazimnya, ianya turut menyatakan berapa lama tempoh percubaan yang perlu dilalui, tempoh lanjutan yang dibenarkan dan bagaimana kedua-dua pihak boleh menamatkan tempoh percubaan tersebut.

Tempoh percubaan ini sering dipandang remeh oleh segelintir orang. Sesetengah orang hanya memandang tempoh percubaan hanya ke arah pengesahan jawatan, walhal, ramai yang terlepas pandang bahawa tempoh percubaan adalah merupakan tempoh penapisan yang berpihak kepada majikan terhadap mereka.

Begiitu juga, ramai yang tidak berpuas-hati apabila mereka ditamatkan perkhidmatan kerana tidak disahkan dalam jawatan oleh majikan, akan tetapi, ia berpunca daripada kelemahan mereka sendiri kerana gagal memahami dan memenafaatkan tempoh percubaan yang diberikan.

Kepada saudara / saudari yang baru memegang jawatan dimana-mana organisasi, sila fahami dengan mendalam apakah sasaran, objektif dan keperluan yang dinilai terhadap anda dalam tempoh percubaan.

Jangan ambil mudah, kerana, apabila tempoh percubaan anda dilanjutkan atau kontrak pekerjaan anda ditamatkan sebelum sempat disahkan dalam jawatan, anda menyalahkan majikan anda, walhal, anda sebenarnya yang tidak memahami kandungan dan keperluan tempoh percubaan anda sendiri.

Selamat Berjaya.

Saiful Mat.