Tuesday 31 December 2013

SELAMAT TAHUN BARU 2014



Selamat Tahun Baru 2014...!!!

Tanggal 31 Disember, 2013, kita mengakhiri tahun 2013. Setiap tahun, kita lalui detik ini, kita menunggu detik ini dan kita menyambut detik ini, yang mengakhiri pusingan 365 hari sepanjang tahun 2013.

Pada tanggal 01 Januari 2014, kita menjejak kaki ke tahun baru 2014. Setiap tahun juga kita menunggu detik ini, kita meletak harapan bermula detik ini dan kita membuat keazaman bermula detik ini.

Kelaziman yang kita amalkan pada waktu transaksi diantara dua detik ini adalah bertanya apakah pencapaian yang berjaya dicapai buat azam yang pernah kita tetapkan di awal 2013, dan, apakah pula azam baru yang ingin kita tetapkan untuk dicapai pada tahun 2014. Situasi ini telah menjadi budaya, dan juga mungkin telah diserap menjadi tradisi.

Bahagian ini menjadi suatu yang menggembirakan pada sekumpulan orang, manakala, ia adalah suatu yang tidak menyeronokkan pada kumpulan orang yang lain.



Bagi kumpulan yang telah mencapai segala apa yang mereka azam di awal 2013, atau, telah mencapai lebih baik daripada azam mereka, atau juga, telah mencapai penncapaian yang hampir serupa dengan segala azam, detik ini pastinya suatu yang menggembirakan mereka. Teruskan membina azam seterusnya, dan mungkin anda bakal mencapai ke tahap seterusnya dalam kehidupan anda.

Bagi kumpulan yang gagal pula mencapainya, atau tidak berkesempatan untuk mencapainya, atau, terpaksa berkorban dan mementingkan orang lain demi kebaikan, ia pastinya sebaliknya.

Sebenarnya, sekiranya anda didalam kumpulan kedua ini, dan, anda meletakkan fikiran anda dalam persepsi begini, ia merugikan anda. Bak kata orang, kekalahan bukan bererti kelemahan, kekalahan juga melambangkan mengatur strategi agar tidak berulang untuk kali kedua.

Penetapan matlamat (Objective Setting) adalah fleksibel. Ia tidak berfaktor secara terus kepada tempoh tertentu atau tempoh yang terhad. Menetapkan tempoh terhad tertentu sebenarnya adalah suatu ukuran jangka pendek untuk menilai progress prestasi ke arah mencapai matlamat sebenar.

Begitu juga dengan kaedah penetapan matlamat. Ianya adalah kaedah semata-mata. Ia tidak terkongkong kepada detik tertentu, apatah lagi, detik yang menjadi tradisi. Detik penetapan matlamat banyak bergantung kepada keupayaan dan kesungguhan diri sendiri, bukan bergantung kepada faktor lain.

Kita biasa mendengar matlamat jangka pendek dan matlamat jangka panjang (Short Term and Long Term Objective) . Matlamat jangka pendek biasanya dibuat untuk tempoh setahun atau kurang, manakala, matlamat jangka panjang untuk tempoh tiga tahun atau lebih.

Oleh itu, jika matlamat atau juga disebut secara tradisi sebagai 'azam' tidak dicapai atau tidak tercapai dalam tempoh setahun atau 12 bulan, ia bukan melambangkan anda dalam kelompok yang tewas, kalah dan rugi. Hasil daripada ukuran dan progress yang anda perolehi dalam 12 bulan akan menjadi ukuran buat anda membina nilai tambah (value added) dalam usaha 12 bulan kedua dan seterusnya.

Begitu juga dengan hasil sebenar yang anda perolehi pada 2013, jika anda gagal mencapai seperti yang anda azam kan, apa yang perlu anda bimbangkan, azam tahun 2013 adalah matlamat jangka pendek anda. Anda masih ada matlamat jangka panjang yang perlu anda bina dengan menjadikan hasil sebenar 2013 sebagai ukuran prestasi dan keupayaan anda untuk mempersiapkan diri anda ke tahap seterusnya.

Penetapan matlamat jangka panjang yang fleksibel dan relevan adalah untuk tempoh maksima 3 tahun. Jadikan tempoh itu sebagai sasaran seterusnya. Tidak salah membuat penetapan matlamat yang baru bermula Januari 2014, tetapi, tidak juga salah membuat penetapan matlamat yang lebih baru pada pertengahan tahun 2014. Semuanya bergantung kepada diri anda sendiri.



Namun begitu, matlamat yang ditetapkan mestilah memilikki prinsip SMART seperti yang diketahui oleh kebanyakan orang. Jika anda menetapkan matlamat yang mustahil anda usahakan mengikut keupayaan, minat, bakat dan kebolehan anda, anda pasti tidak mampu mencapainya. Secara ringkas, prinsip SMART disebutkan adalah seperti dibawah :-




1.) S - Specific - Spesifik - Matlamat anda perlu spesifik (yang jelas dan tepat)
2.) M - Measurable - Boleh diukur - matlamat anda boleh diukur samada kuantiti atau nilai.
3.) A - Achievable - Menentukan siapa yang terlibat.
4.) R - Realistic - Berpontensi boleh dicapai
5.) T - Time  - Menetapkan tempoh matlamat untuk dicapai.

Prisip SMART diatas biasa diamalkan oleh organisasi, tetapi, tidak salah prinsip SMART digunakan secara individu atau perseorangan.

Mari kita semak semula apakah matlamat yang kita tetapkan, semak bila dan kekerapan penetapan matlamat yang wajar kita lakukan dan bina tempoh pencapaian matlamat jangka pendek dan jangka panjang yang bersesuaian dengan usaha serta kebolehan kita.

Jika azam atau matlamat tahun 2013 belum dicapai, tidak semestinya matlamat jangka panjang untuk 2 tahun atau 3 tahun tidak tercapai. Sekiranya anda terfikir tempoh 2 atau 3 tahun seterusnya masih panjang, anda telah pun melepasi 2 atau 3 tahun lepas, dan, adakah anda telah menggunakan tempoh lampau untuk mencapai matlamat anda?

Jangan berputus asa kepada yang tidak tecapai matlamat kali ini, peluang dan masa masih terbuka luas untuk anda membina dan berusaha mencapai matlamat yang baru.

Selamat berjaya.

No comments:

Post a Comment